Saturday, July 17, 2010

GADIS dan BINTANG (final)


Bintangku,
Aku tak berdaya melawan fitrah diriku, kerana aku tidak berdaya menolak takdir yang telah ditentukan Allah untuk diriku. Sesungguhnya aku percaya apa yang telah ditetapkan adalah yang terbaik untuk hambanya. Dan aku juga yakin, di suatu saat dahulu Allah telah menghadirkan cinta seorang Adam di hati ini. Tidak adalah pula dayaku untuk aku menolak terbukanya pintu hatiku.

Bintangku,
Betapa indahnya persahabatan darimu menyapa diriku, betapa luhur kau membuka jalan di hadapanku, aku ingin kau tahu, sesungguhnya terlalu banyak onak merencam pada perjalanan kita yang berliku. Jika aku bukan aku pada hari ini, akulah perempuan yang paling beruntung. Mampu menerima dan memberi selaut kasih. Namun takdir tercipta untuk kita dan aku pasrah menerimanya.

Bintangku,
Kita ditakdirkan untuk berpisah, melempiaskan hasrat saat ingin mengejar cita-cita. Jika suatu ketika kembalinya kita di sini, lepaskanlah kenanganmu kerana telah ku bebaskan dirimu daripada mukim diriku.
~ GADIS~


Nota kecil kututup kembali. Ketika bila aku menulisnya pun aku sudah lupa. Bertahun aku menyimpannya. Tidak pernah sekalipun terlintas untuk aku buangkan dari simpanan email yang pernah ku hantarkan kepada Bintangku itu. Menyisip kemas dalam diari hidupku seperti juga aku menyisip kata-katanya yang pernah melukakan hatiku dan menghiburkan jiwaku. Bintangku, terkadang dalam kepedihan itu ada bahagia yang kau bawakan kepadaku biarpun dirimu begitu sukar sekali untuk daku fahami. Kau telah menjadi yang terindah dalam hidupku.

Saat segalanya menjadi begitu sukar untuk diriku, kau membisikkan kata semangat dan khabar indah di telinga. SMS yang kuterima darimu ku simpan menjadi pembekal semangatku. Walaupun dikala ini kau tidak lagi bersamaku, pesanan-pesananmu itu masih tersimpan rapi dalam inbox telefon bimbitku. Biarpun tika aku membacanya semula, ia meratah pedih, perlahan-lahan meruntuhkan segenap perasaanku. Kala luka, ada rindu yang bertaut datang membuatkan aku kadangkala terpesona dalam tangisan lukaku sendiri.

Bintang aku tinggalkan dengan kenangan yang terus subur di minda. Sungguh takdir Tuhan memisahkan kami dari perbatasan lautan manusia yang lainnya. Telah bertahun lamanya, kenangan yang pernah tercipta tetap subur mewangi dalam mukim jiwaku dan hanya doa kutitip kala rinduku terdetik buatnya.

“Bintangku, walaupun kau dan aku kini semakin menjauh, aku tetap akan mendoakan dalam setiap sujudku semoga kita akan bertemu lagi suatu hari nanti.”

Setiap kali aku berdiri kembali di tempat pertemuan ini, akan ada rindu yang menggebu di hati, membuka satu persatu lembaran kenangan.

“Ya Allah, temukanlah kami kembali. Walaupun jauh, aku mengharapkan rahmat darimu agar kami dipertemukan.” Doaku di setiap kali solatku dan begitu juga ketikanya bayangan darimu menjengah fikiranku. Walaupun dikala aku terlihat dirimu, aku sentiasa mengharapkan walaupun sekilas pandangan daripadamu. Sekurang-kurangnya dengan anggukan. Sesungguhnya hati ini akan terisi dengan sedikkit keyakinan bahawa itu bukanlah pertemuan terakhir kita.

“Jangan lupa makan ubat ni ya. Jaga kesihatan tu. Sesibuk mana sekalipun, jangan abaikan kesihatan diri. Ingat tu.”

Aku mengganguk. Itulah pertemuan terakhir terakhir kami. Perasaan seorang gadis sunti ini telah terusik sekali lagi dengan perhatian yang telah dicurahan kepadanya. Walaupun hakikat ubat itu tidak akan pernah manis seperti madu, namun ubat ini telah memberi madu kepada hidupku. Pemberian yang walaupun kecil itu cukup memberi makna. Aku menjadi terharu. Bintangku, yang walaupun tidak genap setahun aku mengenalinya, telah menawanku dengan pesonanya yang terindah. Senyumannya menjadi ingatan yang paling lekat di mindaku.

Aku cuba tanamkan dalam jiwaku, aku tidak harus tenggelam dalam perasaan sendiri. Kasih yang kubina ku anggap tidak matang. Bukan cinta sejati kerana aku sendiri masih lagi terlalu muda. Aku cuba memberi kebebasan kepada bintangku. Cukuplah dengan menumpukan perhatian pada pengajian di universiti ini. Aku juga cuba menyibukkan diriku dengan aktiviti anjuran kolej supaya aku tidak lagi mengingati dirinya. Aku berterima kasih, kerana dia pernah mengajarkan pengertian cinta, rasa menyayangi tanpa berharap balasan disayangi kembali. Aku tanamkan juga tekad untuk mengejar cinta Tuhan yang sememangnya sentiasa mencintai hambanya. Biarlah ditolak kasih kami sedangkan aku hanya seorang hamba yang naïf. Aku tidak mahu lagi lalai melepaskan segala yang harus dititipkan dalam perjalanan hidup yang masih panjang hanya kerana leka menurut hati. Aku tidak ingin tewas. Cuba untuk tidak lagi merasa rindu yang datang dikala kealpaan. Aku ingin matang dengan cara aku sendiri.

Pernah ada seorang sahabat berpesan kepadaku, “setiap insan dimuka bumi Allah ini diciptakan dari kasih sayang. Juga fitrah manusia saling memerlukan. Tiada siapa yang berhak menafikan sebuah cinta. Begitu juga dengan diri kau. Janganlah kau nafikan cinta yang sememangnya ada dalam diri kau itu.”


“Usah kau bercakap tentang cinta sedang tidak ada pengertian yang sebenar pada dirimu tentang apa yang aku alami ini.” Balasku.

“Lalu kau terus membekukan hati…?”

Sahabat, maafkan aku. Aku tidak dapat menjawab pertanyaanmu kerana sebernarnya aku jauh lebih mengerti. Walau atas alasan apa yang kau fikirkan, aku tetap akan berselindung.
Bintangku, aku mahu kau sentiasa bebas, demi kasih yang ada dalam hati ini, aku lebih rela kita begini. Aku tidak mahu terkongkong dengan kisah cinta lagenda yang pernah wujud sebelumnya. Aku hanya ingin kau mengerti perasaan ini betapa ia hadir tanpa dipinta. Amat aneh, ia memasuki jiwaku sehinggakan aku merasa takut atas sebuah kehilangan. Namun, aku tidak lagi mahu melukakan diriku dengan mendambakan setiap detikku pada rindu.

Maaf Bintangku,
Saat ini, aku cuba untuk menghilangkan dirimu dari jiwaku. Hilang seperti mana kau akan hilang saat ku sampaikan rahsia hatiku padamu. Kiranya kekalahan diriku untuk meraih kasihmu, akan kutebus dengan kemenangan menawan hati penciptaku. Doaku akan sentiasa bersamamu walaupun setelah aku begitu terluka.

TAMAT…………………………


0 comments:

Post a Comment