Pengalaman pergi interview banyak
kali, pengalaman menolak kerja banyak kali, membuatkan aku bertekad untuk
meneruskan tawaran yang aku terima kali ini. Bertepatan dengan minat aku dalam
bidang perniagaan, aku bertekad untuk mempelajari cara mengendalikan sebuah
kedai, walaupun aku terpaksa bermula daripada bawah. Aku ditugaskan sebagai
penyelia di sebuah taman permainan dalam sebuah pusat membeli belah yang baru
sahaja dibuka di salah sebuah ibu kota.
Hari pertama bekerja, dan hari
kedua aku di tempat kerja, aku hanya didedahkan mengenai caj bayaran masuk ke
taman permainan ini. Inilah dunia sekarang. Kebahagian dan keseronokan dibeli
dengan wang ringgit. Kebahagian boleh diniaga. Tapi jangan disalah erti maksud
kata-kata aku tadi. Apa yang aku maksudkan adalah bagi insan yang pandai
mencari peluang, dengan memberi kebahagiaan dan keseronokan kepada orang lain,
dia boleh mendapat kelebihan dengan menjana pendapatan di situ.
Harga bayaran masuk pula berbeza
pada hari bekerja dan waktu cuti. Kepandaian orang berniaga mengambil peluang. Kesempatan
cuti yang ade pada ibu bapa digunakan sebaik mungkin oleh syarikat tempat aku
bekerja. Tapi dalam pada aku sibuk belajar mengenai tugasku di sini, aku kagum
dengan segelintir ibu bapa yang sanggup melayan karenah anak-anak. Kebahagiaan dan
keseronokan anak-anak menjadi keutamaan mereka. Kamera dan tablet tidak lepas dari
tangan untuk merakam detik ketika anak-anak bermain. Berjam-jam dihabiskan
menemankan anak-anak bermain. Sedangkan semasa sebelum menjadi ibu bapa,
sebelum bekeluarga, waktu cuti adalah masa untuk mengganti semula tidur yang
tidak cukup, rehat sepuas-puasnya dirumah. Tetapi naluri ibu bapa berlainan,
waktu cuti mereka adalah waktu bersama anak-anak, biarpun mereka sebenarnya
tidak berehat pada hari cuti mereka.
Namun begitu, ada juga ibu bapa
yang berbeza. Mereka menghantar anak masuk ke tempat permainan ini, kemudian
mereka keluar membeli belah. Setelah puas berjalan, mereka mengambil semula
anak-anak mereka. Tapi tak mengapa, ibu bapa dan anak-anak, masing-masing
mendapat kepuasan masing-masing beriadah di luar rumah walaupun aktiviti tidak
dilakukan bersama.
Teringat pada zaman kecil-kecil
dahulu, keluarga aku bukanlah berduit, pergi ke pusat membeli belah semata-mata
untuk bermain permainan sebegini. RM25 untuk seorang kanak-kanak, dengan jumlah
wang yang sama, boleh emak belanjakan untuk makan minum kami sekeluarga paling
lama untuk tempoh seminggu. Dulu, permainan yang aku tahu antaranya adalah main
pondok-pondok di belakang rumah, sehingga dimarah emak kerana baju dan seluar
kotor. Jika main masak-masak, habis bunga-bunga yang ditanam oleh abah aku
kutip dan hiris nipis-nipis, menjadi replika masakan, yang sebenarnya aku pun
tak kenal rupanya. Jika mahu bermain jongkang-jongkit, gelongsor, taman
permainan sahaja lah tempat aku dan kawan-kawan bermain. Taman permainan yang
paling mewah untuk aku, yang aku fikirkan semasa aku kecil-kecil dahulu, Taman
Tasik Shah Alam. Semua permainan yang tak ada di rumah aku jumpa dan boleh main
di sana. Percuma. Tak perlu bayar pun. Di sanalah teman aku dan adik-adik akan
berkunjung, itupun selepas kami paksa abah ke sana. Waktu kecil aku masih lagi tidak faham erti penat orang
bekerja yang ingin berehat di rumah. Setelah dewasa, dan merasa semuanya
sendiri, barulah aku paham.
Lepas penat bermain, mesti nak
minum, makan. Penat dan haus. Kalau dulu, semasa aku bermain di taman awam yang
terbuka, ibu bapa boleh membawa makanan sendiri. Di sini, makanan luar tidak
dibenarkan. Hanya makanan yang dijual di dalam premis sahaja yang dibenarkan
untuk kanak-kanak dan ibu bapa makan di dalam taman permainan kami. Bukan niat
menindas dengan tidak membenarkan mereka membawa makanan, tapi aku faham,
syarikat ingin menjaga aspek kebersihan. Sebab daripada apa yang aku lihat,
makanan yang dijual di sini hanyalah makanan ringan. Air pula cuma air kotak
dan air kosong. Untuk ibu bapa yang membawa anak-anak ke sini, bukan sahaja
tiket masuk yang mereka kena bayar, tetapi ada bayaran lain sekiranya anak-anak
hendak makan ataupun minum. Harga memang standard harga di pusat beli belah. Mahal
20sen- 50 sen, ikut jenis makanan ataupun minuman. Ada ibu bapa yang tak kisah
berbelanja, ada juga yang teragak ketika hendak membeli. Kesian juga aku tengok
kalau 2 atau 3 orang kanak-kanak terpaksa berkongsi 1 air kotak. Tapi itu
terpulang pada ibu bapa tadi la, macam mana mereka nak berbelanja untuk
anak-anak.
Bersambung...
Imej bukan gambar di tempat sebenar
sumber: google image =)

0 comments:
Post a Comment