Wednesday, May 26, 2010

HADIAH HARI LAHIR (part III)

Perbualan kami hanya setakat di situ sahaja. Masing- masing mendiamkan diri. Melayan perasaan. Aku terasa bagaikan aku bakal kehilangan sahabat karibku. Bila Fadil sudah berumahtangga nanti, mustahil untuk kami sering meluangkan masa bersama lagi. Pastinya dia akan sibuk menguruskan hal-hal keluarga. Tiada lagilah orang yang akan sanggup mendengar celoteh aku.

Kawasan sekitar pantai semakin dipenuhi orang. Aku sudah tidak mampu menahan diri untuk duduk lebih lama lagi di situ. Ada sesuatu yang tidak menyedapkan hatiku, sesuatu yang semakin menjalar di hati.

"Aku mengantuklah Fadil. Aku balik dulu ya." Aku bangun dan Fadil turut sama bangun. Sama-sama melangkah di sisiku. Mengapa hari ini baru ku rasa, setelah aku tahu ada wanita istimewa dalam hidupnya.

"Emi, betul ke kau ok ni? Kalau ada sesuatu yang kau nak ceritakan, aku sudi mendengar."

"Aku ok."

"Sampai bila kau nak mendiamkan diri macam ni? Masalah tak akan selesai. Kalau hari ini kau rasa kau boleh lari, tapi esok lusa kau kena berhadapan juga dengan masalah kau tu. Jangan lari dari kenyataan Emi."

Terima kasih Fadil atas nasihat kau itu. Tapi buat masa sekarang, aku hanya perlukan waktu untuk diriku berfikir. Aku sendiri keliru dengan diriku. Aku berpaling dan terus melangkah.

"Emi!" Aku menoleh semula.

"Jangan memendam perasaan seorang diri, tak baik untuk kesihatan." Aku hanya tersenyum. Ada-ada sahaja ayat yang keluar dari mulutnya.

"Macam bapa orang. Ada-ada aja. Anyway, thanks a lot." Fadil hanya memerhati aku melangkah masuk ke dalam chalet, dia masih tercegat di situ.

Ingatanku pada Afiq sukar untuk aku padamkan. Memori lama sering mengasak fikiran. Tapi untuk menerimanya semula, jauh sekali. Mustahil. Bukan senang untuk aku melupakan kedukaan yang selama ini aku tanggung sendirian. Berbulan lamanya. Mujurlah aku masih ada keluarga dan sahabat yang sering memberikan aku semangat untuk aku meneruskan kehidupanku.

Afiq adalah cinta pertamaku. Mustahil untuk aku katakan yang aku tidak menyayanginya. Daripada dialah aku belajar erti cinta. Dia juga lah insan yang mengajar aku erti duka. Aku pernah katakan pada diriku sendiri, mungkin tidak ada salahnya jika aku memberinya peluang sekali lagi dalam hidupku. Namun, wujudkah seorang wanita di dunia ini yang sanggup untuk dikecewakan berkali-kali oleh lelaki yang sama? Jika ada sekalipun, itu bukan aku. Maafkan aku Afiq, aku mahu berikan peluang kepada diriku untuk mengecapi apa yang sepatutnya aku miliki. Kasih sayang itu aku percaya sentiasa wujud di sekelilingku. Bukan hanya dengan dirimu.

*BERSAMBUNG...


0 comments:

Post a Comment